kita mengetahui tugas seorang guru Pendidikan Islam memang menyampaikan ilmu kepada anak muridnya .Menghapuskan kejahilan, memperkukuhkan amalan , menerapkan nilai-nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidakkah ia sudah dikira sebagai dakwah dan ibadah? cbe kte hayati satu persatu peranan guru dibawah. inshaAllah, kita pasti akan menjadi guru yang berjaya di dunia dan akhirat....
Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
~ guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim).
~ Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat
Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.
Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya.
Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.
Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.
Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran dalam bidang ilmu yang berfaedah. Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.
Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu.
Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup dunia dan hidup beragama). Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang.
Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan Allah memuji Nabi Muhammad saw. dengan menyebut peribadinya yang agung dalam ayat yang kira-kira bernaksud: Sesungguhnya tuan hamba mempunyai peribadi yang agung (Q.4)
Kita boleh bersetuju dengan pemikir barat mengenai peradaban dan moral. Albert Schweitzer dalam bukunya Civilization and Ethics menyebut, kualiti sesuatu peradaban itu terletak pada keberadaban tenaga moral dalam peradaban itu. Adanya guru yang beradab dan memberi pendidikan adab kepada murid selain mendidik ilmu, adalah penyelesai banyak masalah yang dihadapi masyarakat.
Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran
Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai